3 February 2014

Ikhwah Busuk

[Kredit]

Sniff sniff. Err bau apa tu...? Masam sungguh!

Ehem.

Oh bukan. Ini bukan post untuk mengkritik ikhwah yang mandinya sekali seminggu sehingga badan pon naik berbau dan daki pada badan menebal sehingga beberapa inci.

Mata pandang ke atas. 

Bukan juga promosi deodoran terbaru keluaran ikhwah yang telah dibacakan maathurat kubra dan Majmu' ar-Rasail sehingga apabila disapukan pada ketiak, inshaAllah kebarangkalian untuk mendapat kurap atau kanser ketiak dapat dikurangkan sehingga sembilan puluh sembilan poin tujuh tiga peratus. iDeodoran. Eheh. 

Malah bukan juga mahu menghentam ikhwah yang jarang sekali mencuci mulut atau menggosok gigi sehingga menghasilkan nafas yang boleh mengakibatkan reaksi spontan termuntah hijau. Apatah lagi apabila ikhwah itu tersendawa ketika sedang bersolat jemaah di masjid. Konfem jemaah lain pening-pening lalat dibuatnya. Errrggghhh. 

Tapi post kali ini mahu berbicara tentang ikhwah yang punya hati yang busuk. Ya, ikhwah yang penuh dengan hasad dengki berapi-api pada ikhwah yang lainnya, sehingga kadangkala terpaksa mengigit baju sekuat hati hanya kerana mahu menahan perasaan cemburunya. 

Hah? Ikhwah dengki? Ikhwah cemburu? Ishhh biar betul Inche gabbana ni. Jangan hanya tahu main tuduh sahaja! Ikhwah kottt! Ikut usrah! Pergi daurah! Siap berODOJ lagi! Takkan lah orang macam tu ada perasaan hasad dengki dalam hati...??

Senyum, tak perlu kata apa-apa. Biarlah Allah yang berkata-kata.

"Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa, 'Ya Tuhan kami, ampunkanlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sungguh Engkau Maha Penyantun, Maha Penyayang."
[al-Hasyr, 59:10]

Nah, bukankah Allah sendiri telah mensahihkan dalam qalamNya yang mulia itu, bahawa di dalam diri orang-orang beriman itu tidak mustahil untuk mereka saling mendengki? Jika tidak, masakan dikhususkan sepotong doa untuk hal yang sedemikian? 

Geleng kepala.

Ya, di dalam gerabak tarbiyah dan dakwah ini, ada juga segelintir penumpang yang tidak senang melihat kesenangan dan kelebihan para penumpang yang lainnya. Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ada ikhwah yang busuk hati menyaksikan kehebatan ikhwah dan akhawat yang lainnya yang sama-sama mahu memperjuangkan risalah agung ini. Bukan sesuatu yang memelikkan apabila ada akhawat yang panas punggung mendengar kejayaan dan pencapaian orang lain, meski ia adalah ikhwah dan akhawatnya sendiri. 

Ada yang dengki apabila melihat Akh Ramlee membawa begitu banyak bulatan gembira.

Ada yang busuk hati apabila melihat hadek-hadek begitu mudah mesra dan menyenangi Ukht Saloma itu. 

Ada yang tidak senang duduk setiap kali Akh Sattar menyampaikan bahan-bahan fikrah, dek kepetahannya berkata-kata dan kepandaiannya berlawak jenaka.

Ada yang panas hati menyaksikan sendiri bagaimana Ukth Sarimah begitu hebat menulis dan menterjemahkan kefahamannya tentang bahan-bahan fikrah dalam bentuk yang lebih mudah difahami.

Dan ada yang menyampah, mata juling ke atas dan kedua tangan diletakkan di bahu, tatkala melihat Akh Tompel begitu laju dan bersemangat melaksanakan kerja-kerja Syahadatul Haqnya. 

Gantikan nama-nama watak di atas dengan nama-nama anda sendiri. Anda akan mendapati bahawa budaya dengki-mendengki dan busuk hati ini sebenarnya tidak asing di dalam dunia tarbiyah dan dakwah ini.

Nanges.

Benar, ada dengki yang dibolehkan di dalam Islam. Namun dengki ini terhad terhadap dua perkara sahaja, sepertimana sabda Nabi SAW:

"Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu seseorang yang telah dikurniakan Allah SWT harta lalu dibelanjakan hartanya itu ke jalan yang benar (yang diredhai oleh Allah SWT) dan orang yang dikurniakan oleh Allah SWT ilmu pengetahuan, lalu dia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan hadis) serta diajarkannya pula kepada orang lain."

[Hadith Riwayat Bukhari]

Sedangkan dengki yang dimaksudkan di dalam perbincangan kita ini adalah perasaan dengki dengan niat untuk menghilangkan nikmat atau kelebihan yang ada pada seseorang itu. Dengan kata lain, kita jauh lebih suka dan gembira seandainya Akh Sudirman itu tidak pandai menyanyi atau Ukht Hamasah itu tidak pandai menghasilkan video. 

Rasulullah SAW telah memberi amaran yang cukup keras tentang penyakit hati yang satu ini:

"Akan menjalar pada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak katakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama."

[Hadith Riwayat Tirmidzi]   

Allah Allah.

Yang lebih menakutkan dan mengerikan adalah, apabila perasaan dengki itu terlalu berkuasa dan berapi-api, sehingga kita sendiri tidak menyedari tindakan kita yang menyusuli adalah manifestasi kepada perasaan dengki. Sehingga terbakar hangus hati. 

Hati yang dilumur dengan perasaan dengki ini adalah hati yang berpenyakit. Sekiranya hati sebegini tidak dirawat dengan segera, hati itu akan menjadi sebusuk-busuk bangkai, malah lebih busuk daripada itu, sehingga tiada minyak wangi atau Febreeze yang mampu menghilangkan bau hati yang sudah mati itu. Eh.

Potong bawang besar tiga ulas, bawang merah lima ulas. 

Timbul juga rasa hairan dalam diri. Bagaimana ikhwah dan akhawat boleh ada perasaan dengki ini di dalam diri? Bukankah mereka wajar berasa gembira dan senang hati apabila melihat mereka yang sama-sama mahu menegakkan Islam ini begitu bersemangat dan hidung kembang kempis di atas jala ini? Bukankah mereka sepatutnya berasa lega dan bersyukur kerana selain diri mereka, masih ada orang yang bersungguh-sungguh mahu memperjuangkan risalah agung ini sepertimana yang mereka sendiri imani? Dan bukankah mereka seharusnya sibuk berfikir bagaimana mahu saling membantu dan menyokong antara satu sama lain bagi memajukan dan mengukuhkan lagi pondasi dakwah ini, daripada sibuk menggaru kepala dan hidung, berfikir mengapa al-akh itu atau al-ukht ini lebih hensem bergaya daripada diri mereka...??
 
Geleng kepala.

Rupa-rupanya sememangnya sudah menjadi fitrah bagi seorang manusia untuk dibisikkan dengan perasaan dengki ini. Malah, andai si iblis laknatullah itu tidak membisikkannya sekalipon, perasaan iri hati dan cemburu melihat kejayaan dan kelebihan yang ada pada orang lain itu adalah suatu norma kehidupan pada diri seorang manusia.

Sayugia tidak hairanlah orang-orang beriman yang begitu takutkan akan perasaan dengki dan begitu risau akan akibat membiarkan hati terus rosak dimamah iri ini, berdoa seperti doa di atas. Dan tidak hairan juga, Allah menyuruh kita untuk berdoa sepertimana doa yang dimuatkan di dalam surah al-Falaq:

"Katakanlah, 'Aku berlindung kepada Tuhan manusia...dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki."
[al-Falaq, 113:1&5] 

Kerana rupa-rupanya kejahatan orang yang mendengki ini lebih merbahaya daripada mana-mana haiwan buas dan ganas, atau seorang bini yang baharu kepenatan mengemas rumah, tidak semena-mena suaminya pulang ke rumah dan mencampakkan stoking dan seluar dalam merata-rata. Wahaha. 

Sabda Nabi SAW:

"Bencana melepaskan dua ekor serigala kelaparan ke dalam kandang kambing, tidak lebih besar daripada bencana yang menimpa pegangan agama seorang Muslim sikap tamak terhadap harta dan hasad dengki. Sesungguhnya sifat hasad memamah segala kebaikan persis seperti api menjilat kayu kering."

[Hadith Riwayat Tirmidzi]

Telan air liur. 

Sungguh, dengki ini benar-benar akan merosakkan keikhlasan kerja-kerja tarbiyah dan dakwah. Perasaan hasad yang berbuku hati akan menyebabkan diri sentiasa susah hati dan tidak keruan meraban-raban. Dan bukan sekadar itu, dengki dan iri hati ini juga akan merosakkan ukhuwwah yang telah terbina selama ini. Tiada lagi baring-baring atas paha. Tiada lagi main osom gergasi. Eh. 

Wuwuwu T..T [Kredit]
Lantas, bagaimana kita dapat mengubat hati kita yang sudah dijangkiti dengan penyakit hasad ini? Bagaimana kita dapat memadamkan bara dan api dengki yang sudah lama membakar dan memanggang hati kita itu...??

Pertama-tamanya, kita perlu sentiasa menguatkan iman dan taqwa dengan bermuhasabah tidak kita masa dan ketika. Orang yang sering mengoreksi dirinya, tidak akan punya masa dan ruang untuk melihat keburukan orang lain. Orang yang sedar akan keburukan dan kelemahan dirinya, akan berasa malu untuk berhasad dengki pada kelebihan dan kekuatan yang ada pada orang lain. 

Kata 'Umar al-Khattab r.a.:

"Hitunglah diri kamu sebelum tibanya hari perhitungan."

Kedua, sentiasalah berlapang dada dengan kejayaan dan pencapaian orang lain. Lihatlah ia sebagai anugerah dan ujian Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Malah, jadikan kelebihan ikhwah dan akhawat kita sebagai pendorong dan motivasi untuk kita lebih laju di atas jalan ini. Bukankah kita diseru untuk bersegera menuju keampunan dan sorgaNya...? Senyum. 

Ketiga, kita perlu bermujahadah, yakni bersungguh-sungguh melawan nafsu amarah kita yang mengkehendaki kita untuk berhasad dengki pada ikhwah dan akhawat kita. Padamkan api kemarahan dan rasa iri hati itu dengan perbanyakkan istighfar, zikir-zikir memuji Allah dan ingatan terhadap seksaan api neraka. Bayangkan pula suatu hari nanti kita akan bertepuk-tampar gembira dan berlari-lari bermain polis sentri bersama ikhwah kita yang terchenta di sorga nanti. Senyum nampak gigi.

Dan yang keempat, mantapkan ukhuwwah sesama para penggerak dakwah ini. Hidupkan budaya ziarah menziarahi dan memberi hadiah. InshaAllah ukhuwwah yang tertaut atas dasar keimanan dan tafahum (saling memahami) akan membunuh benih-benih hasad dan dengki yang tertanam di dalam hati. Malah, ia akan menyemai pula benih-benih taqwa, yang akan membuahkan chenta agung, saling menyayangi keranaNya.

Begitulah. 

Saya kira, perasaan dengki yang tertanam di dalam sanubari para ikhwah dan akhawat (malah sesiapa sahaja di luar sana) sebenarnya merupakan ujian untuk melihat sejauh mana kita ikhlas dalam beramal. Ia menguji para dua't ilallah ini, sejauh mana mereka mampu untuk meraikan perbezaan dan membedakan yang mana satu buah iman dan yang mana pula bisikan syaitan. 

Sungguh, fenomena saling mendengki ini merupakan bala besar kepada tarbiyah dan dakwah. Ikhwah yang busuk hatinya, sakit jiwanya dan hitam sanubarinya, bukan sahaja akan mendatangkan fitnah besar kepada dakwah, malah merosakkan saf-saf yang telah dibina dan melambatkan pula pergerakan para pejuang agama yang lainnya. Hasad dengki adalah penyakit hati yang amat merbahaya dan perlu diperangi dengan segala kekuatan yang ada. 

Ayuh, bebaskan diri kita daripada penyakit ini. Hidupkan ruh dan jiwa kita dengan membuang tunas-tunas dengki yang menumbuh di dalam hati; cabut dan buanglah sehingga ke akar umbi. Segarkan iman dan taqwa dengan mendidik hati kita untuk lebih menerima.

Ya, erti hidup itu pada menerima. Menerima dengan seikhlas hati dan seyakin diri, bahawa segala yang berlaku itu adalah sebahagian daripada perancanganNya yang Maha Bijaksana.

Ketika itu, percayalah, hidup kita akan lebih gembira. Dan bermakna. Senyum. 

"Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sungguh Engkau Maha Penyantun, Maha Penyayang."

Sniff sniff.

Eh ada lagilah bau masam tu. Kepam! Bau apa eh...?

Err err. Maaf akhi. Ana dah tiga minggu tak mandi, semenjak Malaysia nak turun salji!

Jatuh kerusi.

-gabbana-

Alhamdulillah, cuti yang saya kira cukup produktif untuk diri yang marhaen ini. 

Dapat berjaulah merapatkan ukhuwwah dengan hadek-hadek terchenta. Dapat pula menziarahi dan bertalaqqi dengan seorang syaikhul dakwah yang amat dihormati. Dapat juga bersama-sama meluangkan masa bersama keluarga. Dan dapat sama-sama mendekatkan lagi diri kepadaNya bersama-sama dengan ikhwah dari sorga. 

MashaAllah. Haadza min fadhli rabbi.

Terima kasih Allah, kerana menjadikan aku semakin matang di atas jalan ini. 

7 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 03/02/2014, 20:10  

subhanallah...

Anonymous 03/02/2014, 21:05  

Tepat masanya .. jzkk

Anonymous 03/02/2014, 23:47  

IG, saya copy paste entry ni. Tapi saya dah kreditkan untuk IG. Saya harap IG tak marah.


Cuma nak berkongsi. Senyum ;)

Anonymous 04/02/2014, 21:48  

saya akui saya busuk ...
so kena selalu mandilah ...

Anonymous 23/02/2014, 12:42  

Ok.terasa.sy dengki dgn anda inche gabbana.

Anonymous 30/11/2014, 21:04  

Aku nak letak jawatan. Dia ingat best jadi Head. Aku nie macam nak muntah rase.

Lantak la, dia nak ambik Head ni ambik la. Penat aku nak layan karenah manusia. Karenah aku pon aku tak terlayan.

Anonymous 01/12/2014, 13:26  

police sentri ke police and thief? haha.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP