7 August 2015

Budak Usrah Yang Rebel

[Kredit]

Jika frasa 'budak usrah' disebut dan benda pertama yang terbayang di dalam kepala anda adalah seorang budak baik berkopiah, berwajah putih, berjanggut sejemput, berbaju Melayu Raihan, berseluar slack dan selalu pegang tangan macam penyanyi kumpulan nasyid, besar kemungkinan bayangan anda itu meleset sama sekali. 

Hakikatnya, bukan semua budak usrah itu skema dan yang jenis pijak semut tak mati. Tidaklah pula saya katakan menjadi budak skema dan baik pijak semut tak mati dan kentut wangi itu sesuatu yang tidak bagus. 

Cuma saya nak betulkan persepsi anda, sekiranya anda berpersepsi sebelum ini.   

Ehem.

Di mana-mana sahaja pasti akan ada golongan yang rebel, atau dalam bahasa Melayunya, pemberontak. Tapi disebabkan pemberontak itu bunyinya sedikit kasar dan kurang enak didengar, maka saya gantikan ia dengan rebel.  

Menjadi seorang rebel tidak semestinya sesuatu yang tidak bagus. Contohnya, apabila semua orang nak makan nasi lemak sambal kerang tapi anda seorang sahaja yang mahu nasi lemak sambal ikan bilis, tidak semestinya itu sesuatu yang tidak baik. Eheh.

Malah, dalam sesetengah situasi, menjadi rebel itu merupakan suatu kemestian sekiranya itu sahaja cara yang ada untuk membetulkan sesebuah keadaan. Contohnya di dalam sesebuah negara yang korup yang pemimpinnya zalim dan menindas, maka perlu ada dalam kalangan rakyat yang rebel, untuk menyedarkan rakyat lain yang sedang lena dibuai mimpi. 

Begitu juga di dalam bulatan gembira. Bohonglah sekiranya semuanya tentang bulatan gembira itu baik-baik belaka. Semuanya indah bak kuntum-kuntum bunga dafodil mekar di taman, hanya terurai dari tangkainya apabila ada arnab-arnab gemok yang berlari riang.

Err.

Ya, di dalam bulatan gembira juga ada pemberontakan. Dengan kata lain, dalam ramai-ramai budah usrah yang tampak baik, follow the flow dan pijak semut tak mati itu, ada sahaja dalam kalangan mereka ini yang rebel. Yang menentang arus. Yang tidak mahu bersama dengan majoriti. Yang tidak mahu bertaklid buta semata.

Boleh jadi kerebelan itu itu tidak baik dan tidak sihat, mengganggu perjalanan bulatan gembira yang ada. Namun boleh jadi juga, kerebelan mereka itu adalah sesuatu yang perlu. 

Jangan buat-buat terkejut dengan menggelembungkan pipi dan membesarkan mata sekiranya saya mengatakan, al-Quran juga ada memperjuangkan idea menjadi rebel ini.

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta."
[al-An'am, 6:116]

Ha kan Allah dah berfirman tu, ikut majoriti tidak semestinya baik? Malah boleh pula menimbulkan polemik? Dengan kata lain, menjadi rebel itu kadangkala perlu, mengikut keadaan dan situasi yang tertentu.

Tetapi rebel yang bagaimana?

Mari kita lihat dan khulasahkan beberapa kuot yang berkaitan dengan rebel dan ambil manfaat daripadanya.

“If opportunity doesn’t knock, build a door.” – Milton Berle


Di dalam tarbiyah dan dakwah, kita dituntut untuk sentiasa menjadi pro-aktif dan sentiasa punya inisiatif untuk memajukan dakwah. Peluang-peluang untuk berdakwah sentiasa ada. Pintu-pintu kebaikan sentiasa terbuka luas.

Mad'u tidak akan jatuh bergolek macam heroin hidustan berguling-guling di lereng bukit. Err. Subjek dakwah tidak akan datang berlari-lari kepada kita dengan penuh gembira dan teruja. Semuanya memerlukan usaha dan inisiatif di pihak kita. 

Di dalam karya fenomenal Syaikh Ahmad Rasyid, Muntalaq, disebut antara ciri-ciri golongan taasis (pengasas) dalam dakwah adalah tiada bumi mahu sempadan yang mampu menyekatnya! Walaweh! 

Oleh sebab itu, bak kata Milton Berle, sekiranya peluang tidak datang mengetuk pintu, maka buatlah pintu itu!

“First they ignore you. Then they laugh at you. Then they fight you. Then you win.” – Mahatma Gandhi

Jalan tarbiyah dan dakwah ini tidak akan sunyi dari mehnah dan tribulasi. Dan termasuk di dalam mehnah dan tribulasi ini adalah segolongan orang yang berhasad dan mendengki.

Sekiranya kita menelusuri seerah dakwah Nabi SAW ketika fasa Mekah, kita akan dapati untuk tempoh tiga tahun yang pertama, kuffar Quraisy tidak mempedulikan risalah yang dibawa baginda. Kemudian apabila dakwah mula dijaharkan, apabila mereka sudah mula perasan akan kelakuan 'aneh' Nabi SAW dan para sahabat baginda, baharulah mereka mula memberikan tentangan.

Mula-mula mereka dakwa Nabi SAW sebagai gila atau tukang sihir. Kemudian apabila semua itu tidak berhasil, mereka mula menggunakan kekerasan ke atas baginda dan para sahabatnya. 

Namun sejarah telah menjadi saksi bagaimana dakwah Nabi SAW akhirnya mengatasi semua ujian dan cubaan ini lantas menerangi seluruh alam semesta dengan cahaya kebenarannya.

Jadi sekiranya berhadapan dengan orang-orang sebegini, yang pada mulanya tidak menghiraukan kita, kemudian mentertawakan kita dan akhirnya menentang kita, jangan khuatir. Kerana seperti kata Mahatma Gandhi, akhirnya kita juga yang akan menang! 

“If the path before you is clear, you’re probably on someone else’s.” – Joseph Campbell

Kalaulah jalan yang kita lalui di atas jalan tarbiyah dan dakwah ini sentiasa lengang atau dibentangkan dengan karpet merah atau penuh dengan kelopak-kelopak bunga mawar yang semerbak harum, boleh jadi kita sebenarnya berada di atas jalan orang lain. Erk.

Kerana hakikatnya jalan ini depenuhi dengan duri dan kaca, paku dan tulang ikan. Sekiranya kita mendapati jalan ini bersih dan tiada apa-apa yang menghalang, boleh jadi kerana orang yang terdahulu yang telah melaluinya sudah pon membersihkannya. 

Benarlah kata Joseph Campbell, jika jalan yang kita lalui lengang, boleh jadi ia adalah jalan lain orang! 

“Never regret. If it’s good, it’s wonderful. If it’s bad, it’s experience.” – Victoria Holt

Kehidupan ini adalah sebuah eksperimen. Usaha-usaha kita dalam menyebarluaskan tarbiyah dan dakwah juga merupakan suatu eksperimen. 

Dalam sesuatu eksperimen, apa-apa sahaja boleh terjadi. Bahan ujikaji kita boleh sahaja meletup. Atau tidak memberikan apa-apa tindak balas. Atau perlu ditambah dan diperbaiki lagi formulanya. Atau terlalu cepat memberikan tindak balas kemudiannya shiuhh shiuhhhh angin bertiup menampar muka. Atau memberikan hasil sepertimana yang kita impikan. 

Sekiranya dakwah kita menjadi, ia adalah sesuatu yang amat hebat. Namun sekiranya tidak, seperti kata Victoria Holt, ia adalah sebuah pengalaman.

Pengalaman yang mematangkan. Senyum. 

“If you lose today, win tomorrow. In this never-ending spirit of challenge is the heart of a victor.” – Daisuka Ikeda

Kita tidak akan selamanya kalah di dalam perjuangan menentang taghut dan jahiliyyah. ya benar, gelombang mereka ini sepertinya tidak tertahan dan terlawan. Tentera-tentera mereka bertungkus-lumus siang dan malam untuk memadamkan cahaya Allah. 

Tapi bak kata Syaikh Abu Ammar, mehnah yang sedang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini hanyalah gerhana, dan bukannya terbenam matahari.

Kumpulkan kekuatan, belajar dari kesilapan dan rancanglah dengan penuh kebijaksanaan. 

Daisuka Ikeda merumuskannya dengan sangat bergaya sekali; sekiranya kita kalah pada hari ini, kita akan menang esok. Di sebalik semangat untuk menghadapi cabaran yang tidak berpenghujung adalah hati kepada kemenangan. Peh! 

“Act as if what you do makes a difference. It does.” – William James

Dalam perjuangan tarbiyah dan dakwah, setiap daripada tenteranya wajib meyakini apa yang dibawa dan diperjuangkannya, dan bersungguh-sungguh pula melakansanakannya. 

Setiap hati yang kita sentuh, setiap bulatan gembira yang kita hidupkan , setiap jiwa yang basahkan, setiap kesusahan yang kita mudahkan dan setiap tangan yang kita pimpin dan bimbing, percayalah, meskipon tiada siapa yang mempedulikannya atau menyedarinya, ia mencetuskan suatu perubahan. 

Peganglah kata-kata William James ini: Bertindaklah seolah-olah tindakan anda membawa perubahan. Kerana sememangnya ia!

“If you believe it will work out, you’ll see opportunities. If you believe it won’t, you will see obstacles.” – Wayne Dyer  

Seorang dai'e itu perlu menyiapkan dirinya dengan sikap berlapang dada dengan perancangan Allah. Sikap ini pula akan melahirkan jati diri yang sentiasa optimis dan berpandangan jauh. 

Sikap ini amat penting sekali bagi memastikan kita tidak frust menonggeng dan berguling apabila dakwah kita tidak memberi hasil seperti yang kita harapkan. Kerana sebaik mana pon perancangan kita dan seqawiyy mana pon pelaksanaan kita, hasil akhirnya tetap terletak pada kebijaksaaan Allah.

Dai'e yang sentiasa yakin dengan perancanganNya, akan sentiasa melihat peluang dan ruang untuk dirinya beramal. Sedangkan seorang dai'e yang banyak beralasan dan tidak yakin dengan apa yang diperjuangkannya, Wayne Dyer kata, orang sebegini hanya akan nampak masalah dan halangan. 

"Islam began as something strange and will return to being something strange, so blessed are the strangers." - Nabi Muhammad SAW

Inilah moto agung yang perlu dipegang oleh setiap budak usrah rebel di luar sana. Eheh.

Sudah menjadi sunnatullah, kebenaran adalah sesuatu yang amat asing dalam mana-mana zaman sekalipon, kerana ia bertentangan dengan gejolak nafsu manusia yang raksasa. Rasulullah SAW dahulupon, dakwahnya bermula dengan baginda saorang. Dan baginda terpaksa berhadapan dengan gelombang taghut yang dahsyat, yang sedaya-upaya cuba untuk mematikan dakwah baginda.

Thaif menjadi saksi, betapa sepi dan asingnya dirasakan oleh baginda. Sobs. 

Jadi janganlah rasa looser dan nak terjun gaung apabila kita merasakan diri kita saorang diri hanya kerana apa yang kita mahu perjuangkan itu menentang arus. Paling koman, ketahuilah, meskipon seluruh umat manusia menolak dan memulaukan kita, Allah itu tetap dan sentiasa ada untuk menemani kita. 

Allah. Lap air mata. 

Beruntunglah andai kita tetap teguh dan utuh di atas jalan ini, kerana keimanan dan keyakinan kita terhadap kebenaran yang asing. Seperti sabda baginda SAW, Islam itu datang dalam keadaan asing dan akan kembali asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing!    

Ok cukuplah setakat itu.

Saya harap kuot-kuot di atas memberikan anda inspirasi untuk menjadi rebel. Tapi bukan rebel yang suka mengamuk, terjerit-jerit tak tentu hala, bakar bangunan dan berbaring di atas jalan itu. Bukan.

Tapi saorang rebel soleh yang punya pendirian yang tetap lagi kejap, yang berpegang utuh pada prinsip Islam dan tahu apa yang diinginkannya dan bersungguh-sungguh pula untuk mencapainya.  

Baharulah anda akan menjadi saorang budak usrah rebel yang redha dan diredhaiNya! 

Wahai!

-gabbana- 

Dengarnya Ustaz Nouman ada di Kuala Lumpur sekarang ini dan akan memberikan ceramah berkala di Mesejid Wilayah setiap hari Sabtu? MashaAllah. Saya amat suka pendekatannya yang rebel; lain dari yang lain! Amat menggugah jiwa-jiwa yang kehausan di luar sana!

Anda yang berkelapangan dan punya masa, jangan sia-siakan peluang ini! 

 

16 Caci Maki Puji Muji:

Eintan Nurfuzie 07/08/2015, 18:36  

mmm.. ok.. faham artikel ini

Anonymous 07/08/2015, 20:19  

Jzkk inche gabbana. Rebel yg membentuk sikap proaktif, kreatif dan tidak menjadi pak turut amatlah bagus dan bermanfaat, tetapi rebel yg mengikut hati dan seolah menjadi 'ghuraba' hingga melanggar prinsip-2 asas sgtlah perlu dijauhi kerna terlalu bnyk 'rebel' juga bisa melambat dan melemahkan

Anonymous 07/08/2015, 21:47  

Setuju dgn anonymous..
Hati2 sbb rebel dengan keputusan jemaah, syuro, sistem usrah ie murabbi dlm adab2 amal jamaei boleh merugikan

Inche boleh ulas juga kot sebab ada yg ambil literal artikel ni dan rasa nak rebel tanpa ambil kira isti'zan istisyarah dan akhlak islami

Anonymous 08/08/2015, 02:31  

Selalunya yg rebel2 ni samada masih belum faham completely atau cara pandang mereka berbeza. Persekitaran yg berbeza juga mungkin. Bukan semua org dpt didikan agama dan akhlak dari dlm perut mak. Tugas kita juga utk menerangkan.

Anonymous 08/08/2015, 03:29  

Idea hebat dan genius kalau terang pun mungkin tak difahami. Bukan semua orang iQ genius. Akhirnya tiada pencapaian apa2. Sebab tiada yg berani cipta peluang. Idea pun terkubur. Selalunya begitu

Anonymous 08/08/2015, 07:31  

saya pegang-- rebellah kalau dengan rebel saja menyemarakkan dunia dnt. Kalau x rebel nanti futur, dan x rasa nk berdakwah.... haaa padan muka. Baik rebel drpd duduk diam menangisi taqdir bulatan gembira yg sepi.

Anonymous 08/08/2015, 09:56  

Jzkk APG. Mass yg sgt tepat utk sy baca artikel ni. Sy nk jd rebel yg soleh dan diredhaiNya. Rebel untuk yg terbaik bgi Deen ini iAllah!
Cuma mnjadi bdk rebel ni perlukan jiwa yg besarrrr
Untuk merendahkan diri dlm mentarbiyah, dan ditarbiyah. At the end, Allah xkn sia siakan pahala org yg berbuat kebaikan, dan Dia saja yg Maha melihat. Dia sentiasa tahu..

Anonymous 08/08/2015, 14:56  

Rebel tak salah pon. Dalam perbincangan rebel boleh mengkritikalkan pemikiran, kreatif. Dalam seerah pon Sahabat Umar pon ade pendirian tersendiri.

Animos 21:47 : Setiap perkara perlu transform baru chantek! Sesuai dgn situasi zaman tahun 2015, nnt 2020. Nak besarkan/didik anak pon kena ikut peredaran masa.


ditulis oleh aku budak usrah

Anonymous 08/08/2015, 21:01  

Saya rebel sampai dibuang jemaah *sobs*

Sebab persoal kenapa budak usrah selalu buat benda bertentangan ulama. Pasal adab dgn quran terutamanya. Pasal helah dgn ibubapa. Dan lain2 lagi. Okay, mungkin budak usrah ada 'dalil' sendiri pasal ni, tapi bertentangan ulama. ._. Byk mengambil kata2 Ibn Qayyim, Syeikh Quttub, etc yg ulama kata dari sudut aqidah salah, tapi tidak dinafikan beliau ulama hebat. Ulama yg kata bukan saya, boleh tengok video ustaz Azhar Idrus pasal ni. Byk betul yg mengikut lebih kepada pegangan *w4h4bi*.

Saya rebel sampai mas'ul cakap saya bahaya dalam jemaah ._.

Tapi lepas kena buang, hakikatnya saya memang tidak boleh jauh dari usrah walau pendekatan mereka sama. Jadi saya rebel utk diri sendiri. Apa mereka buat saya tidak buat, tapi metode dakwah semua sama. Cuma saya lebih suka dengar sirah, ceramah berapi dari ulama, bukan dgn baca buku.

At the end, saya dah masuk jemaah lain. (The end) Wahaha panjang juga saya taip, dah boleh jadi post baru :3

-Enonimus-

Anonymous 09/08/2015, 03:52  

Wah menarik2!!!!

Anonymous 10/08/2015, 12:22  

Menariknya experience. Mungkin boleh explain lagi point pasal adab dengan Quran? Apa isu yg cuba diketengahkan?

Anonymous 16/08/2015, 02:27  

Biasalah, pasal tadabbur. Pasal letak quran atas lantai. Sentuh quran tanpa wudhu. Okay mungkin ini bg org khilaf.

At point tadabbur yg melampau2 sampai nak kait sambut telefon sbgai panggilan jihad, dakwah etc siap bg dalil. Wajibkan itu ini.

Helah dgn parents bg dalil quran, sirah mus'ab, hadis ghulam. Pdhl semua sirah helah tu lebih kpd menyelamatkan diri dari kekafiran. Tak kafir pun tak pegi daurah, mcm Mus'ab dipaksa tinggalkan islam.

Tidak kurg dgn yg salah tadabbur, terlalu byk. Smpai mengarah ke kekafiran pun ada sebab terlalu free space for everyone utk tadabbur.

Bg saya lebih baik fokus belajar fardhu ain dulu yg kita kurg. Bkn larang dakwah, cuma know the priority

Anonymous 16/08/2015, 02:34  

Bukan saya seorg yg tinggalkan usrah kerana hal ini. Ramai lagi. Kajilah pasal syeikh Quttub yg kita agungkan dlm usrah, kaji pasal aqidah yg beliau pegang. Kaji pasal ibnu taimiyyah dan anak muridnya.

Saya tidak kesah jika ingin quote kata2 dakwah dr mereka selagi ada benarnya. Tp kenapa mereka? Sprti tiada ulama lain.

Para sahabat bljr ilmi dgn talaqqi. Kita cuma dgn baca buku. Yakinkah, apa yg kita baca sama dgn ulama maksudkan? Apatah lg quran. Terlalu berani hendak keluarkan 'fatwa' dgn hanya cuma membaca terjemahan.

Best way to learn islam is with talaqqi.

Aims 27/08/2015, 11:49  

haha.. lawak baca artikel ni. rebel.... pemberontak....
teringat aku pasal Steve Job. budak suka rebel. menentang. akhirnya dibuang dari Apple. then Apple bankrup. akhirnya Apple terpaksa ambil balik Steve. dan Apple cemerlang kembali.....
tak semua rebel tak bagus.... kadangkala lebih bagus dari tak rebel apa-apa dan mengikut....
Oh.. Imam Syafie pun rebel terhadap Imam Malik kan?

haha..... setuju dgn APG

Cikgu 'Aina 28/08/2015, 06:09  

Rebel x pg dauroh sebb clash dgn murobbi punya walimah..tu rebel jugak ke? Hehehe..

Selagi mana tahu priority dan keberhasilan anda sebagai budak tarbiyah..rebel lah utk fight for the tarbiyah ..n make sure usrah tak mati kat tangan awk..



Unknown 22/12/2015, 04:59  

Nice!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP