11 April 2016

Mother Theresa & Nelson Mandela


[Kredit]

Ada suatu persoalan yang sering membuatkan ramai orang Islam di luar sana garu kepala.

Dan saya juga suatu ketika dahulu, sering juga tergaru-garu kepala dek tidak menemukan jawapan yang memuaskan untuk persoalan ini.

Persoalannya:

  1. Benarkah orang kafir akan masuk neraka walaupun mereka semasa hidupnya ialah manusia yang mulia dan banyak melakukan kebaikan?; dan
  2. Benarkah amal-amal mereka ini langsung tidak diterima, meskipun amalan mereka banyak memberi manfaat kepada manusia?

Sewaktu persoalan ini mengganggu hidup dan menyerabutkan kepala otak saya, ada beberapa nama yang seringkali bermain di fikiran. Antaranya ialah Mother Theresa, Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela. Nama-nama ini ialah nama besar dalam sejarah dunia, terutamanya dalam menyumbang kepada kebajikan dan manfaat manusia sejagat.

Mother Theresa contohnya, lahir di Macedonia namun menghabiskan sebahagian besar hayatnya di Kolkata, India untuk menabur bakti dan menanam jasa di sana sebagai rahib Roman Katolik. Beliau tidak berkahwin sepanjang hidupnya dan menggunakan masa dan tenaga yang ada untuk melakukan amal-amal kebajikan melalui pertubuhan yang diasaskannya iaitu Missionaries of Charity yang telah memberi manfaat kepada ratusan ribu, jika bukan jutaan manusia.

Siapa yang tidak kenal dengan Mahatma Gandhi? Tokoh yang terkenal dengan kata-kata, “Be the change you want to see in the\is world” ini merupakan tokoh kemerdekaan India yang menjadi inspirasi kepada seluruh dunia. Gerakan tidak patuh syariahnya, eh maksud saya, gerakan penentangan awam tanpa kekerasan (Baca: Nonviolent civil disobedience) yang diasaskannya telah mempengaruhi gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan dan hak asasi di seluruh dunia.

Nelson Mandela pula terkenal sebagai pejuang anti-apartheid di Afrika Selatan. Pengaruhnya yang begitu besar akhirnya menjadikannya Presiden pertama Afrika Selatan dalam kalangan orang berkulit hitam. Ketika beliau menjadi Presiden, beliau mengambil pendekatan berdamai dengan orang-orang kulit putih di Afrika Selatan bagi mengelakkan perpecahan yang lebih besar. Beliau pernah memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1993. Beliau menubuhkan Yayasan Nelson Mandela bagi memerangi miskin tegar dan penyakit HIV/AIDS yang menular di benua Afrika.

Ketiga-tiga tokoh ini mempunyai banyak persamaan. Antaranya, mereka ialah tokoh yang bukan sahaja berjasa kepada mereka yang berada di sekeliling mereka, tapi mereka juga telah menginspirasikan jutaan manusia di seluruh dunia.

Namun ada satu lagi persamaan pada ketiga-tiga sosok ini. Ketiga-tiga mereka mati dalam keadaan bukan Islam. (Setahu sayalah. Tidak tahulah pula jika mereka mengucapkan syahadah di atas katil kematian mereka!)

Nah, apa nasib mereka ini? Adakah mereka akan dihumbankan ke dalam neraka, meskipun hayat mereka dihabiskan untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan (seperti yang mereka fahami)? Adakah mereka ini akan diseksa dan diazab sedangkan hidup mereka diabdikan untuk melakukan kebajikan dan menyebarkan kebaikan?

Persoalan-persoalan sebeginilah yang menghantui saya dan seringkali menyebabkan saya tidak senang duduk. Apatah lagi apabila memikirkan kebaikan, akhlak dan jasa-jasa mereka ini jika dilihat dan diteliti, jauh lebih mantap dan bagus dari kebanyakan umat Islam sendiri. Malah saya tidak bercakap tentang tiga orang tokoh ini secara spesifik sahaja. Anda yang pernah belajar dan bekerja di luar negara terutamanya di negara Barat atau Jepun akan mendapati ramai dalam kalangan mereka ini yang berakhlak dengan akhlak Islam seperti menepati masa, menjaga kebersihan, menghormati kebebasan orang lain, tidak mudah menghukum, banyak menderma dan melakukan kebajikan dan lain-lain lagi.

Fikirkan orang seperti Bill Gates dan isterinya Melinda yang telah mendermakan bukan ratusan ribu, bukan juga jutaan malah bilionan dolar Amerika untuk tujuan kebaikan melalui yayasan yang mereka tubuhkan. Atau orang seperti Dr. Mads Gilbert, seorang rakyat Norway yang telah membahayakan nyawanya sendiri dengan menyertai misi bantuan kemanusiaan di Palestin.

Cuba anda bandingkan pula dengan negara-negara yang majoriti daripada penduduknya ialah umat Islam seperti Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Afghanistan, Iraq malah Malaysia sendiri. Apa yang dapat anda lihat dan perhatikan? Kemudian fikirkan pula perpecahan yang berlaku antara umat Islam, jurang kekayaan yang sangat ketara antara negara-negara Arab seperti Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar dan sebagainya dengan jiran-jiran mereka yang miskin, polemik label-melabel antara golongan agamawan, pemimpin negara Islam yang korup dan entah apa-apa kegilaan lagi.

Geleng kepala.

Kemudian kita dengan mulut kita yang manis dan penuh berbudi bahasa itu dengan pantas mengatakan orang kafir konfem masuk neraka manakala orang Islam wajib tempatnya di sorga! Adeh.  

Lantas, timbul pula persoalan lain; di manakah keadilan Allah? Bukankah Islam agama yang memperjuangkan keadilan dan kesamarataan? Bukankah begitu banyak ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW yang sahih yang menyebut tentang kasih-sayang Allah dan keampunan-Nya kepada para hambanya?

Tarik nafas panjang-panjang.

Jawapan-jawapan kepada persoalan ini memerlukan perbahasan dan perbincangan aqidah yang bukan sahaja panjang, malah adil dan mendalam. Saya tidak mungkin dapat menjawabnya di dalam penulisan yang serba kekurangan ini, apatah lagi ilmu di dada tersangatlah marhaen dan dhaif.

Meskipun dalil-dalil yang ada, baik dari al-Quran mahupun hadith jelas menunjukkan pengakhiran untuk orang-orang yang semasa hayatnya menolak Islam dan matinya sebagai kafir ialah di neraka, contohnya: 

“Dan barangsiapa mencari selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

[Ali-Imraan, 3:85]

Atau 

“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan-Nya, dan Dia mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang menyekutukan Allah maka sesungguhnya dia telah tersesat sejauh-jauhnya.” 
[An-Nisa’, 4:116]

Atau

“Demi Allah, yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya! Setiap orang yang telah mendengar risalahku, baik dia Yahudi atau Nasrani, kemudian dia mati tanpa iman dengan risalahku itu maka dia pasti masuk neraka.” 

[Hadith riwayat Muslim] 

saya sendiri secara peribadinya memilih untuk menyerahkan urusan ini kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Sungguh, Dia lebih mengetahui apa yang tersembunyi dan rahsia pada pandangan mata kita yang lemah ini. Dan Dia yang lebih bijaksana, mengatur urusan alam buana ini sesuai dengan kehendak-Nya. Cukuplah kita berpegang pada dalil-dalil yang sedia ada tanpa bersikap takalluf (memberat-beratkan) atau ta’asuf (mempermudahkan) dalam isu ini. Dan sekiranya kita merasakan diri kita tidak punya ilmu yang cukup untuk berbicara tentang isu yang amat berat ini, berpadalah dengan kita memegang pendapat ulama’ yang muktabar dan berautoriti dalam isu ini.

Segan pula rasanya mahu mengatakan orang lain konfem akan masuk neraka, sedangkan amal diri ini tidaklah seberapa. Malu rasanya mahu menerakakan orang lain walhal diri ini belum lagi bersungguh-sungguh menyeru orang kepada-Nya!

Gulp.

Kini saya mahu beralih kepada persoalan yang kedua; Benarkah amal-amal mereka ini langsung tidak diterima, meskipun amalan mereka banyak memberi manfaat kepada manusia?

Persoalan ini juga seperti persoalan yang pertama, seringkali menyerabaikan rambut saya dek digaru berulang-kali. Namun tidak seperti persoalan pertama, sekurang-kurangnya saya telah menemukan jawapan yang memuaskan untuk persoalan kedua ini.

Begini.

Hikmah penciptaan manusia tidak mungkin akan dapat dirungkaikan dengan sempurna. Hanya Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui itu sahajalah yang lebih arif tentang sebab sebenar mengapa manusia itu diciptakan. Sepertimana firman Allah SWT kepada para malaikat ketika mana mereka membantah penciptaan Adam AS: 

“Sungguh Aku mengetahui apa tidak kamu ketahui.”
 [Al-Baqarah, 2:30]

Namun kita sekurang-kurangnya tahu akan tujuan penciptaan manusia di muka bumi:

  1. Sebagai ‘abid, yakni hamba kepada Sang Pencipta, dan
  2. Sebagai khalifah, yang diamanahkan untuk mentadbir alam ini dengan sebaiknya. 
Kedua-dua ini disebutkan di dalam al-Quran, masing-masing di dalam surah al-Baqarah ayat 30 dan surah az-Dzariyat ayat 56. Kehidupan seorang manusia di muka bumi ini hanya dikira sebagai bermakna dan ada nilainya apabila dia memenuhi kedua-dua tujuan penciptaannya tersebut. Jika tidak, dia hanyalah lebihan kepada dunia. 

Di dalam hadith niat yang dikongsikan sebelum ini, kita telah faham bahawa segala bentuk amal itu hasilnya akan bergantung kepada niatnya. Amalan yang dilakukan kerana Allah akan dikira sebagai ibadah dan akan mendapat ganjaran pahala. Amalan yang tidak dilakukan kerana Allah, hanyalah sia-sia walau bagaimana bermanfaat pun ia. 

Nah, walau bagaimana hebat amalan seorang bukan muslim itu, walau bagaimana bermanfaat pun ia kepada yang lain dan walau bagaimana bagus amalannya itu pada pandangan mata manusia yang lainnya, ia tidak bernilai kerana tidak dilakukan kerana Allah dan Rasul-Nya.

Kita hidup di dunia kerana Allah. Setiap nafas yang dihembus keluar dari paru-paru kita adalah untuk Allah. Setiap titik darah yang mengalir di dalam tubuh badan kita adalah untuk Allah. Setiap detikan nadi kita adalah untuk Allah. 

Makanya, apabila hidup kita bukan kerana Allah, kerja-kerja yang kita lakukan bukan kerana Allah, makan dan minum kita bukan kerana Allah, ola bola kita bukan kerana Allah, jalan-jalan kita bukan kerana Allah, berkahwin beranak-pinak kita bukan kerana Allah, semuanya itu hanyalah sia-sia semata. Sia-sia! 

Oleh sebab itulah, amalan orang bukan Islam tidak diterima di sisi Allah. Kerana mereka melakukannya bukan untuk dan kerana Allah.

Walau sesuci mana pun niatnya untuk membantu manusia lain, walau sebagus mana pun impiannya untuk meringankan beban orang lain dan walau sebaik mana pun hasratnya untuk menghulurkan tangan, ia tidak bernilai di sisi Allah kerana amal-amalnya itu dilakukan bukan lillahi ta’ala. 

Kerana kita adalah hamba-Nya dan seorang hamba itu hidupnya hanya untuk Tuannya semata. 

Fuh. 

Op op. Anda yang muslim ini jangan rasa selesa dahulu. Dengan hujah yang sama, walaupun nama kita Muhammad atau Abdus Salam, Aminah atau Safiyyah, walaupun ada tertera perkataan ‘Islam’ pada kad pengenalan kita, walaupun kita amat gemar berjubah berkain pelikat atau bertudung labuh, belum tentu amalan kita akan diterima-Nya andai kita tidak meniatkannya lillahi ta’ala. 

Dan anda ingat sebagai muslim, anda konfem akan masuk sorga? Belum tentu lagi tahu? 

“Perbezaan yang sebenarnya antara seorang kafir dengan seorang muslim bukanlah perbezaan pada nama. Nama Joni tidaklah bererti bahawa pemiliknya adalah seorang kafir dan nama Abdullah pemiliknya adalah seorang muslim. Demikian pula orang yang memakai seluar jeans tidak bererti dia seorang kafir, dan yang memakai sarung tidak bererti dia seorang muslim. Tidak, tidak demikian,” demikianlah ucap Syaikh Abul A’la Al-Maududi di dalam salah satu khutbah Jumaatnya. 

Sambungnya lagi, “Perbezaan yang sebenarnya antara seorang kafir dan seorang muslim adalah dalam hal pengetahuan. Seseorang adalah kafir kerana dia tidak tahu bagaimana hubungan dirinya dengan Tuhan dan hubungan Tuhan dengan dirinya, dan tidak tahu cara hidup yang mana yang harus dijalaninya di dunia ini, yang sesuai dengan kehendak Tuhan. Apabila seorang anak dari orang tua yang muslim tidak mempunyai pengetahuan mengenai hal ini, maka apa alasannya bagi kita untuk menganggap dirinya sebagai seorang muslim?” 

Sniff sniff. Ada sesiapa bau benda terbakar tak? 

Izinkan saya untuk memetik beberapa lagi peringatan pawer dari al-Maududi. Saya nasihatkan anda untuk sediakan peti kecemasan atau sekurang-kurangnya sebaldi air untuk sebarang kemungkinan. 

“Perbezaan yang begitu besar antara seorang muslim dan seorang kafir, tidak mungkin disebabkan yang seorang bernama Abdullah dan Abdurrahman, sedang yang lain bernama Joni dan Robertson; atau kerana yang seorang dikhatan dan yang lain tidak; atau kerana yang seorang tidak memakan babi dan yang lain memakannya. Allah Yang Maha Kuasa, yang telah menciptakan alam untuk seluruh manusia dan memberinya rezeki, tidak mungkin bertindak sedemikian kejam, mendiskriminasikan antara makhluk-Nya, hanya kerana soal-soal kecil seperti itu dan memasukkan hamba-Nya yang satu ke sorga sedang yang lain ke neraka.” 

Fuh. Sikit sahaja lagi. 

“Apabila perbezaan yang besar dalam kehidupan seorang muslim dengan seorang kafir bukanlah pada soal nama, khatan dan babi, maka apakah perbezaan sebenar antara keduanya? Jawapannya hanyalah satu, yakni Islam dan kufur. Islam bererti kepatuhan kepada Allah sedangkan kufur bererti ingkar kepada Allah. Orang muslim dan orang kafir kedua-duanya adalah manusia, kedua-duanya adalah hamba Allah. Tetapi yang satu, berkedudukan mulia kerana dia mengakui Allah (sebagai Tuhan) dan mematuhi perintah-perintah-Nya. Dia takut akan hukuman yang akan diberikan-Nya apabila dia tidak mematuhi perintah-perintah-Nya. 

Sedangkan yang satu lagi terperosok dari kedudukan yang tinggi itu kerana dia tidak mengakui Allah dan tidak mahu melaksanakan perintah-Nya. Inilah sebabnya mengapa Allah senang kepada orang-orang muslim dan benci kepada orang-orang kafir. Allah menjanjikan sorga bagi orang-orang muslim dan memperingatkan orang-orang kafir bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam neraka." - Syaikh Abul A'la al-Maududi, Dasar-Dasar Islam 

Begitulah. 

Kufur dari segi bahasanya ialah menutup. Dari segi konteksnya, ia bermakna menutup kebenaran yang telah sampai kepadanya.

Saya tidaklah mahu mengkafirkan sesiapa, nau’dzubillah. Tetapi definisi kufur bukanlah menyembah berhala atau mempersekutukan Allah semata-mata. Seperti kata al-Maududi, “Kufur bererti ingkar kepada Allah.” 

Nah, berapa ramai daripada kita yang telah kufur apabila kita menghirup udara-Nya yang percuma, berjalan di atas muka bumi-Nya dengan riang gembira dan memakan segala rezeki-Nya tanpa rasa malu dan segan, tetapi akhirnya melakukan sesuatu tidak lillahi ta’ala..? 

Tertelan biji kuaci. 

-gabbana- 

Post ini adalah salah satu artikel yang bakal dimuatkan di dalam buku terbaru saya, 'Biar Tak Glamor Di Dunia, Asal Popular Di Langit Sana!' Mengujakan bukan?

Dapatkan info lanjut tentang buku ini di www.facebook.com/penerbitanwahai atau di instagram.com/penerbitan_wahai. Atau boleh juga dapatkan buku ini di PBAKL 2016 di MAEPS, Serdang bermula 29 April ini!


6 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 11/04/2016, 20:25  

Jzkk APG for nice sharing :)

Nadhie Wueen 11/04/2016, 20:52  

alhamdulillah.. perkongsian yg bermanfaat. thankq share =)

Orang 13/04/2016, 15:07  

Assalamualaikum apg, sy nk mintak nasihat sikit drp apg. Sy ni baru lg dlm dunia tarbiyah. Murabbi sy selalu ambil berat tentang sy itu sy pasti. Tapi kadang 2 sy rasa macam dipaksa bila sy disuruh mngikuti usrah n halaqah. Memang awL2 nya sy nak perfi sgt, tp tempatnya jauh, di negeri lain, ibu bapa sy tak benarkan sy pergi, sy beri alasan kpd murabbi sy bahawa sy x dpt kebenaran ibu bapa sy. Tapi, murabbi sy seakan memaksa sy dgn memberi dalil2 alquran dan sebagainya. Apa patut sy buat. Sy rasa macam dipersalahkan, mcm iman sy ni lemah sgt berbanding mereka. Even smpai sy punya smangat nk join halaqah dan usrah ni luntur disebabkan paksaan ni. Salah sy ke apg? Tolong sy apg... sy mmg nk berubah. Terima kasih

yuk 28/04/2016, 09:36  

very nice atricle..very deep..huhu...menusuk kalbu..
so kita patut bersyukur sbb dah lahir dlam kluarga islam..x yah mncari-cari mne agama yg btul...
n slah satu nikmat yg pling bsar d dunia nie ialah islam..n rmai org x tau @ x nak ambik tahu..huhu..

miramarchello.blogspot.com 11/06/2016, 13:25  

incik gabanna.. ingat tak kisah sorg pelacur perempuan yang bg anjing minum dgn stilletto dia tuh.. then dia masuk syurga.. pengakhiran hidup dia islam ke ?? sbb compare dgn cerita sorang pemuda yg bunuh 100 org dlm perjalanan mencari taubat kemudian mati.. tp jarak dia lebih dekat dgn mencari taubat dia di masukkan dlm syurga.. pengakhiran hidup dia islam jgak ke ??

Unknown 08/08/2016, 11:21  

good article. keep it up! May Allah bless you.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP